Friday, 30 December 2016




PENGAJIAN MALAYSIA : PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA


PENGENALAN  

Hubungan etnik ialah satu aspek penting dalam kehidupan manusia kerana keadaan
yang aman dan damai mampu mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial
yang baik. Menurut Shamsul Amri ( 2012 ), keupayaan Malaysia mengekalkan
kestabilan politik, ekonomi dan sosial membolehkan negara ini terus membangun dengan pesat. Malaysia juga berjaya menjadi sebuah negara yang berpendapatan sederhana dalam tempoh kurang daripada 50 tahun.

Masyarakat majmuk boleh dibahagikan kepada tiga ciri utama iaitu dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Ciri-ciri masyarakat majmuk pertama dari sudut politik bermaksud bangsa yang mempunyai tingkah laku tersendiri dalam pendirian politik. 

Dari sudut ekonomi, masyarakat majmuk membawa erti setiap masyarakat mempunyai pengkhususan pekerjaan yang berbeza. Perbezaan pekerjaan juga membawa kepada perbezaan tempat tinggal, taraf kehidupan dan komposisi kaum di setiap negeri. Setiap bangsa mempunyai interaksi yang lebih di dalam kaum masing-masing dan kurang berinteraksi di antara kaum. 



KOMPOSISI ETNIK DI MALAYSIA 

ETNIK MELAYU :

   Berasal daripada berbagai keturunan, iaitu keturunan Melayu Proto ( Melayu Purba atau Melayu Asli ), Melayu Deutero ( Melayu Lama ) dan Melayu Moden yang datang dari Timur Tengah, India, Cina dan Eropah. Mereka berhijrah ke kawasan Asia Tenggara dan berkemungkinan menjadi orang pertama di Tanah Melayu atau mungkin bercampur dengan penduduk tempatan sehingga menjadi orang jati Asia Tenggara.


ETNIK CINA :

  Merupakan etnik kedua terbesar dari etnik Melayu dan Bumiputera. Mereka yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-19 merupakan usahawan Cina atas tujuan ingin bekerja sebagai pelombong. Etnik Cina ini amat patuh kepada pembesar-pembesar Melayu. Namun, keadaan berubah setelah mereka diberi konsesi untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah di negeri-negeri Melayu.


ETNIK INDIA :

  Etnik India pula ialah etnik ketiga terbesar di Malaysia. Etnik ini masuk ke Semenanjung Tanah Melayu sebagai buruh tawanan dari Bengukulu, Indonesia dan sebagai buruh ladang. Mereka digunakan untuk membina bangunan, jalan raya dan jambatan. Namun, lebih ramai dalam kalangan etnik ini bekerja di ladang-ladang tebu, kopi, teh kepunyaan orang Eropah.


ETNIK MINORITI :

  Iaitu orang Asli yang pertama dipercayai menetap di Semenanjung Tanah Melayu pada kira-kira 1,000TM. Sejarah membuktikan bahawa negara ini merupakan salah sebuah kediaman yang terawal di Nusantara ( Zahari Awang, 2014).




PERPADUAN NEGARA & INTEGRASI NASIONAL 

   Selepas kemerdekaan, negara menghadapi pelbagai masalah dalaman, terutamanya masalah perpaduan dan integrasi antara kaum. Masalah ini wujud disebabkan oleh implikasi yang berikut :


(a)   Pemisahan tempat tinggal
(b)   Perbezaan pekerjaan
(c)   Sistem pendidikan yang berbeza
(d)   Fahaman politik yang berbeza
(e)   Masalah ekonomi
(f)    Perbezaan kepercayaan atau agama, keturunan, bahasa & adat resam
(g)   Sistem pemerintahan penjajah


  Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah ini adalah seperti berikut :


(a)   Penyeragaman sistem pendidikan
(b)   Integrasi ekonomi
(c)   Penyatuan fahaman politik
(e)   Aspek-aspek sosial lain



FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL

   Terdapat empat faktor yang mempengaruhi hubungan etnik dalam aspek perpaduan dan integrasi nasional di Malaysia. Antaranya ialah seperti yang berikut : 


(a)   Perkongsian Kuasa Politik Di Malaysia
(b)   Kerajaan Demokrasi
(c)   Pertumbuhan Ekonomi Yang Baik
(d)   Tolak Ansur Budaya




TAHAP INTEGRASI

   Pencapaian sebuah masyarakat yang berintegrasi bukan merupakan sesuatu yang mudah. Tahap integrasi boleh dilihat daripada segregasi sehingga amalgamasi.


(a)   Segregasi         

Satu proses sosial yang menyebabkan individu atau kumpulan 
sosial tertentu dipisahkan atau diasingkan dengan individu atau kumpulan sosial yang lain.

(b)   Akomodasi       

Proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik sedar serta 
menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain yang wujud dalam sesebuah masyarakat.

(c)   Akulturasi         

Proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok daripada sesuatu kebudayaan lain yang berbeza.

(d)   Asimilasi           

Proses yang berlaku apabila kumpulan minoriti atau kumpulan etnik yang baharu mengamalkan budaya dan identiti kumpulan majoriti untuk mengurangkan batas etniknya.

(e)   Amalgamasi   

 Merupakan istilah yang dikategorikan dalam asimilasi biologi, iaitu satu tahap asimilasi yang paling tinggi.




RUKUN NEGARA SEBAGAI IDEOLOGI

   Rukun negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 merupakan satu susunan prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial  yang mencakupi seluruh aspek kehidupan bernegara seperti agama, budaya, politik, ekonomi dan perundangan.


Objektif Rukun Negara :

(a)   Mewujudkan perpaduan yang lebih erat
(b)   Memelihara cara hidup demokratik
(c)   Mencipta masyarakat yang adil
(d)   Membentuk sikap liberal
(e)   Membina sebuah masyarakat yang progresif




PERISTIWA 13 MEI 1969

   Peristiwa 13 Mei 1969 memberikan pengajaran kepada setiap rakyat Malaysia supaya saling hormat-menghormati, perasaan curiga dan syak wasangka akan timbul dalam kalangan etnik di negara ini. Peristiwa ini juga telah membuka mata banyak pihak. Pemimpin-pemimpin negara telah sedar dan mula meniliti isu perpaduan dengan lebih serius disebabkan oleh kesan keganasan yang berlaku sungguh mengerikan. 




KESIMPULAN

   Setiap kaum utama sama ada di Tanah Melayu mahupun di Sabah dan Sarawak mempunyai identiti dan kelompok masing-masing. Dengan adanya dasar-dasar kerajaan dan Rukun Negara, kesepaduan dan keharmonian dapat dicapai.